englishrose

Saturday, 1 December 2012

HIKMAH MENDIRIKAN SOLAT



Hikmah mendirikan solat
 Rujukan: Buku Ensiklopedia solat


Solat kekuatan agama
Tentang solat sebagai tiang agama pula, beliau menjelaskan walaupun Islam adalah asal agama tetapi tanpa tiangnya sudah tentu agama ini tidak kuat dan mudah runtuh seperti rumah tidak bertiang.
Oleh itu, melaksanakan kewajipan solat fardhu diibaratkan membina tiang-tiang untuk memperkukuhkan agama ini.
Orang islam yang mengabaikan tuntutan solat ini tidak mungkin dapat meningkatkan keimanannya untuk mematuhi arahan dan larangan Allah SWT.



Amalan pertama dihisab pada hari kiamat
Rasulullah SAW bersabda : Maksudnya : “perkara pertama seorang hamba itu dihitung adalah solatnya, jika sempurna solatnya. Jika tidak, Allah berfirman : ‘lihatlah kepda solat-solat sunat yang dikerjakan oleh hamba-Ku ini jika ada yang sunat sempurnakanlah solat-solat fardhu itu dengan solat-solat sunat.’ ”
(Riwayat al-Nasa’I dalam Sunan al-Nasa’I kitab 


Perhintungan ke atas solat
Selain daripada hadis di atas, terdapat beberapa riwayat lain yang membawa pengertian yang sama walaupun lafaz yang berbeza. Ini menunjukkan kepentingan solat mengatasi ibadah-ibadah yang lain.
Solat adalah pintu pertama yang mesti dilalui sebelum pintu-pintu yang lain. Kegagalan menunaikan kewajipan solat menyebabkan semua ibadah lain seperti zakat dan haji menjadi sia-sia.
Ini dijelaskan oleh Rasulullah Saw sebagaimana yang dilaporkan oleh Yahya bin Ya’mar r.a daripada seorang sahabat Nabi :
Maksudnya : “perkara pertama yang dihitung ke atas seorang itu ialah solatnya. Sekiranya dia telah menyempurnakannya, maka ditulis untuknya (solat tersebut) dengan sempurna. Jika tidak sempurna, Allah berfirman : ‘perhatikan adakah kamu mendapati hamba-Ku ini melakukan solat-solat sunat. Sempurnakanlah solatnya dengan solat-solat sunat ini. Kemudian barulah dihitung zakat. Demikianlah setelah itu diambil amalan-amalan berdasarkannya.’ ”
(Riwayat Ahmad)


Solat membina jati diri
Berdasarkan Tafsir al-Azhar, imam Abu al-Aliyah pernah berkata, “solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali.”
Keistimewaan solat
1.   Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf.
2.   Khusyuk akan mencegahnya daripada perbuatan mungkar.
3.   Zikrullah akan membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya daripada yang mungkar.


Solat sumber kekuatan jiwa
Di samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga mampu meninggalkan kekejian dan kemungkaran. Dalam surah al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman,
Maksudnya : bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.


Solat mendisiplinkan umat.
Rukun tertib yang diwajibkan dalam solat dan kebanyakan ibadat lain adalah satu medium latihan yang sangat berjaya dalam membentuk insan yang patuh dan berdisiplin tinggi.


Solat mendidik umat menepati masa.
Allah SWT, melalui pensyariatansolat fardhu lima waktu membimbing hamba-hamba-Nya menjadi  pengurus masa yang baik. Dalam surah Al-Nisa’ ayat 103, Allah berfirman:
Maksudnya : sesungguhnya solat adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang Mukmin.


Solat tepat pada waktu.
Oleh kerana solat fardhu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan sebelum masuk waktu dengan sengaja dianggap tidak sah dan mendapat dosa. Sekiranya dilakukan selepas waktunya solat itu dianggap qada.
Ini secara tidak langsung melatih orang Islam agar menepati dan menghargai masa.
Malah, kegagalan menepati waktu-waktu solat memberikan kesan langsung kepada keprihatinan seorang itu terhadap masa dalam bidang kehidupannya yang lain. Seorang yang culas solat Subuh juga menghadapi masalah kedatangan ke tempat kerja dan sekolah.
Kepekaan kepada waktu solat ini dapatn diperkembangkan kepada seluruh kehidupan hingga menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa. Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang di dunia dan akhirat.


Solat menggalakkan rasa cintakan ilmu.
Galakan Islam agar umatnya menuntut ilmu dan pengiktirafannya terhadap orang berilmu dapat dikesan dengan jelas dalam solat yang diwajibkan ke atas kita. Jika dikaji, Islam mewajibkan setiap orang yang melakukan solat agar mematuhi segala rukun-rukunnya yang berbentuk lafaz perkataan atau gerak perbuatan.
Untuk memenuhi semua spesifikasi yang sangat ketat, seorang Muslim tidak mempunyai pilihan lain melainkan mempelajarinya dengan bersungguh-sunguh.
Kegagalan berbuat demikian menyebabkan solat yang dikerjakannya tidak sah walau berapa rakaat pun yang dilakukannya. Ini kerana, tidak sah solat orang yang melakukan semua perbuatan solat dengan tertib sekalipun tetapi hanya mengikut tunjuk ajar atau mengikut-ngikut tanpa mengetahui dengan tepat yang mana rukun dan yang mana pula sunat.


Ikut imam yang berilmu.
Selain itu, ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih daripada kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim, Ahmad dan Abu Daud, Nabi SAW bersabda :
Maksudnya : “Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka lebih mahir membaca al-Quran dan baik bacaannya. Jika kemampuan membaca mereka sama, hendaklah dipilih orang lebih dahulu berhijrah sebagai imam. Jika masa hijrah mereka sama, pilihlah yang paling tua di antara mereka sebagai imam. Jangan seseorang itu menjadi imam kepada orang lain di rumahnya dan jangan pula di tempat kekuasaannya, dan janganlah seseorang itu duduk di tempat kehormatan orang lain, kecuali dengan izinnya”.
(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi  Daud, kitab Solat : Bab siapa lebih berhak   menjadi imam.)
Makmum yang berada di belakang imam juga perlu menguasai ilmu fiqah terutamanya tentang solat dan taharah kerana kadangkala imam terlupa sesuatu dalam solatnya. Justeru, untuk membantu imam islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam daripada kalangan mereka yang berilmu.
Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi, Nabi bersabda
“Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh bersolat dekat denganku, kemudia mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya.


Solat penghapus dosa.
Solat lima waktu yang diwajibkan sehari dan semalam ke atas kita adalah nikmat yang sangat besar. Ini kerana solat juga berfungsi sebagai agen pembersih dosa-dosa orang yang mengerjakannya selagi tidak melakukan dosa-dosa besar.
Apabila solat ini difardhukan lima kali sehari bererti kita sering dapat membersihkan dosa-dosa iaitu lima kali sehari. Ia boleh diibaratkan seperti sebuah kereta yang dicuci lima kali sehari.
Rasulullah SAW sendiri mengibaratkan solat lima waktu ini seperti seorang yang mandi lima kali sehari sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabir r.a. :
Maksudnya : “Perumpamaan solat lima waktu adalah seperti sebatang sungai yang mengalir di hadapan pintu seseorang yang mana dia mandi di dalamnya lima kali sehari”.


Solat menjadi cahaya di dunia dan di akhirat serta selamatkan dari neraka
Rasulullah SAW pernah menceritakan bahawa orang yang tekun mengerjakan solat mendapat cahaya atau petunjuk ketika di dunia dan juga di akhirat.
Orang yang bersolat tidak akan terjerumus ke lembah kebinasaan kerana solat itu sendiri menjadi panduan dan cahaya untuk mereka menjalani hidup yang diredai Allah.
Abdullah bin Amru r.a melaporkan kisah ini daripada Rasulullah, sabdanya :
Maksudnya : “Sesiapa yang memeliharanya  (solat) dia akan mendapat cahaya dan bukti serta pertolongan pada hari Kiamat. Sesiapa yang tidak memelihara solat, dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk), tiada bukti dan tidak akan mendapat pertolongan. Malah, pada hari Kiamat nanti, dia akan ditempatkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf”.

Ini juga menjelaskan bahawa sesiapa yang memelihara solatnya dengan mengerjakan semua solat fardhu pada waktunya dengan tertib dan sempurna, mereka dijamin selamat daripada api neraka.
Sebaliknya, bagi mereka yang mengaku Islam tetapi mengabaikan tuntutan solat ini, akan diletakkan sama taraf dengan orang kafir di dalam neraka.


Solat meninggikan kedudukan dan menghapuskan kesalahan.
Rasulullah SAW pernah menasihati pembantunya, Tsauban agar memperbanyakkan solat. Sabda Baginda :
Maksudnya : “Kamu hendaklah memperbanyakkan sujud. Sesungguhnya tidaklah engkau sujud sekali sahaja kepada Allah, melainkan Allah mengangkat kedudukanmu satu darjah. Dan Dia juga akan mengampunkan kesalahanmu”.
Menurut Imam Nawawi dalam syarah hadis ini, sujud yang dimaksudkan adalah sujud dalam solat. Oleh itu, yang dikehendaki adalah memperbanyakkan solat dan disebutkan sujud dan bukannya perbuatan solat yang lain seperti qiam, rukuk atau duduk, kerana sujud adalah saat seorang hamba itu berada paling dekat dengan Pencipta yang disembahnya sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis sahih.
Hadis ini juga menjamin seoarang yang setia solat ditinggikan martabatnya di sisi Allah dengan diampunkan kesalahannya. Di mata manusia di dunia pula, seorang yang taat beribadah dipandang mulia oleh masyarakat dan dihormati tanpa mengira dia seorang pemimpin atau kuli.
Kecenderungan hati seorang itu untuk melaksanakan kewajipan solat menyebabkan Allah menguasai hati orang lain untuk cenderung dan hormat kepadanya.

No comments:

Post a Comment