englishrose

Saturday, 8 December 2012

MARI BEREHAT DENGAN SOLAT!




 

Siapa yang tidak pernah ditimpa masalah dalam hidup? Bahkan hidup ini telah diumpamakan oleh sesetengah ahli falsafah sebagai “tempat untuk menyelesaikan masalah”. Justeru, apabila berdepan dengan masalah, segeralah dapatkan kekuatan, kebijaksanaan dan kesabaran untuk menyelesaikannya. Bagaimana? Ya, dengan mengadu kepada Allah yang “memberi” masalah itu!
Ketika itu, jangan hanya dilihat “sebab” tetapi lihatlah pada “penyebab” segala sebab. Insya-Allah, jika kita mengadu dan merayu kepada Allah, Allah pasti akan mendengar dan memberi jalan penyelesaiannya.


Sama ada semua masalah kita akan diselesaikan-Nya ataupun Allah akan menjadikan hati kita tabah dan gagah untuk menghadapinya. Dengan kekuatan itu kita tidak akan terus mengutuk kegelapan, tetapi kita akan terus berusaha mencari cahaya. Kita tidak akan berterusan mengharapkan ikan, tetapi kita akan berusaha sedaya upaya memiliki jorannya!
Ingatlah, apabila Rasulullah s.a.w. menyuruh Sayidina Bilal r.a. mengumandangkan azan, Baginda akan berkata: “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat.” (Riwayat Ahmad)
Menerusi permintaan itu, Rasulullah menegaskan bahawa solat sebenarnya memberi suatu kerehatan bagi orang yang mendirikannya. Diriwayatkan daripada Sayidina Huzaifah: “Apabila Rasulullah mengalami suatu kesulitan, Baginda akan segera mengerjakan solat.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Tindakan Rasulullah ini selaras dengan anjuran Allah yang bermaksud: “Dan pintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.” (Surah al-Baqarah 2: 45)

Tentu sahaja dalam solat itu, Rasulullah menemui ketenangan dan kekuatan. Bayangkan, betapa kukuh dan teguhnya jiwa Rasulullah. Baginda dibantu oleh wahyu dan diperkuatkan oleh mukjizat, namun Baginda masih mencari kekuatan dengan solat. Lalu siapakah diri kita yang begitu lemah, tetapi terus angkuh daripada mendapat bantuan Allah menerusi solat?
Marilah mencari kerehatan dengan solat. Mudah-mudahan:

i) Hati tenang menghadapi ujian
Solat ialah sebesar-besar dan seutama-utama zikrullah. Firman Allah mafhumnya: “Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Taha 20: 14)
Hati yang mengingati Allah akan mendapat ketenangan. Ini dapat dilihat dalam firman Allah yang lain, mafhumnya: “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28)
Ketenangan itulah kekuatan dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Kita menghadapi ujian bukan dengan kekuatan otot dan fizikal, tetapi dengan kekuatan hati. Hati yang tenang tidak akan mudah kecewa, bosan, putus asa dan marah apabila berdepan dengan kegagalan, kesakitan, kekurangan dan kekalahan dalam hidup.

ii) Mendapat jagaan Allah
Dalam solat juga, seseorang akan mendapat penjagaan Allah hasil daripada menjaga hukum Allah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu.” (Riwayat Ahmad)
Abdullah bin Salam pula pernah berkata: “Sekiranya keluarga Rasulullah s.a.w. ditimpa sebarang kesempitan, Baginda akan memerintahkan mereka mendirikan solat dan membacakan ayat Allah berikut (mafhumnya): ‘Dan perintahkan keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun dan sabar mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kami yang memberi rezeki kepadamu. Dan ingatlah kesudahan yang baik bagi orang yang bertakwa.’” (Riwayat al-Tabarani)
Sekian lama kita menagih simpati dari ‘benda’ dan manusia. Ya, lumrah hidup, setiap manusia pasti menghadapi tekanan dalam hidupnya. Apa yang mereka biasa lakukan? Mengikut pendapat pakar psikologi, jika seseorang ditimpa masalah, dia perlu meluahkan masalah itu kepada pihak kedua dan jangan sekali-kali dipendamkan. Bagaimana?
  • Tulisan
Luahkan dan tumpahkan semua masalah itu dalam bentuk perkataan dan ayat. Dengan menulis, seseorang akan menjadi lebih rasional dan jelas tentang apa yang sedang dihadapinya. Secara beransur-ansur, emosi yang tertekan dan menggelegak akan menjadi reda apabila fikiran mencari kata dan fakta, kemudian menyusunnya membentuk ayat bagi menterjemahkan rasa hati.
  • Luahan
Cari orang yang paling dipercayai dan luahkan segala masalah itu kepadanya. Jangan diharapkan sebarang penyelesaian, tetapi cukup sekadar meluahkan. Dengan bercerita dan berkongsi segala yang terpendam di jiwa bersama orang yang dipercayai, kita merasakan tidak keseorangan dalam menghadapi masalah tersebut. Ini memberi kelegaan buat jiwa.
Mengikut kajian pakar psikologi, manusia memerlukan manusia lain untuk mendengar segala rintihan dan kesusahan hatinya, sama seperti mereka memerlukan makanan. Tanpa makanan, badan akan lemah. Begitulah, tanpa didengar masalahnya manusia akan tertekan dan lemah jiwanya.
  • Aktiviti Lain
Mengikut pakar perubatan, mereka yang memiliki binatang kesayangan seperti kucing, ikan dan burung dapat mengurangkan stres berbanding mereka yang tidak. Begitu juga seseorang yang memiliki hobi tertentu umpamanya, membaca buku, memanjat bukit, berkebun dan sebagainya. Dengan melihat, memegang dan mendengar sesuatu yang menyeronokkan melalui binatang kesayangan dan hobi yang diminati ini, tekanan yang dihadapi dapat diminimumkan.
Itulah tiga cara untuk mendapatkan kelegaan dan ketenangan jiwa. Namun, bagaimana hebat dan bijak sekalipun kaedah yang mampu difikirkan manusia, ia tidak dapat menandingi kaedah yang telah ditetapkan Allah. Ya, kaedah yang ditetapkan itu ialah solat!
Dalam solat, seluruh elemen dalaman dan pancaindera lahiriah diarahkan untuk berhubung dengan Allah. Sebab itulah, ada ulama yang menyatakan solat itu satu bentuk hubungan antara seorang hamba dengan Tuhannya.
Bayangkan, solat umpama “wayar” yang menyambungkan diri seorang hamba yang lemah, jahil, hina, miskin dan tidak berdaya dengan Allah; Tuhan yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui, Maha Mulia, Maha Kaya dan Maha segala-galanya. Solat itu umpama “talian hayat” buat seorang hamba apabila berdepan dengan segala kekusutan, kekeliruan dan kesusahan dalam hidupnya.
Jika kita punya hajat, solatlah dua rakaat, solat hajat. Pintalah kepada Allah segala yang diingini. Yakinlah akan janji Allah ini: “Pintalah, nescaya akan Aku kabulkan.” (Surah al-Mu’min 40: 60)
Jika pada suatu masa dan keadaan, kita keliru untuk membuat keputusan dan melakukan pertimbangan, maka dirikan solat istikharah. Insya-Allah, Allah akan berikan ketenangan emosi dan kestabilan fikiran untuk membuat keputusan. Kita akan dipandu ketika memilih kebaikan di tengah-tengah ribuan kecelaruan.
Jika yang kita ingini rezeki, maka dirikan solat Duha, solat yang menjadi kunci pembuka rezeki dari langit dan bumi! Namun, paling utama dan pertama ialah solat fardu. Itulah tiang agama, tonggak jiwa untuk menghadapi segala.
Hati manusia umpama bateri telefon bimbit yang mesti dicas selalu untuk berfungsi. Jika bateri telefon perlu dicas dua atau tiga hari sekali, maka hati manusia perlu dicas dengan solat sebanyak lima kali sehari.
Hati manusia yang tidak solat umpama bateri yang kosong. Maka manusia yang tidak solat, umpama telefon yang sudah kehabisan bateri. Apabila hati “mati”, tidak berguna wajah yang tampan dan badan yang sasa pada seseorang manusia, seperti tidak ada gunanya telefon bimbit yang canggih dan cantik tanpa bateri!
Di manakah kita meluahkan segala rasa hati? Dengan siapa? Hakikatnya “pemberi” masalah dan “pemegang” hatilah yang berkuasa memberi ketenangan hati dan membantu menyelesaikan masalah. Siapa pilihan kita?

Allah : Pendengar Tanpa Jemu
Apabila seseorang sedang solat, dia sebenarnya sedang mengadu, merayu dan meminta bantuan Allah. Seorang ulama bernama al-Hakim berkata: “Jika kamu ingin mendengar kata-kata Allah kepadamu, bacalah al-Quran. Sebaliknya, jika kamu ingin berkata-kata dengan Allah, dirikanlah solat.”
Dengan membaca al-Quran, kita mendengar ayat-ayat yang diturunkan kepada kita untuk mengurus dan mengatur kehidupan. Manakala dengan mendirikan solat pula, kita memuji Allah, merayu dengan menyebut apa-apa yang kita inginkan dan meluahkan segala kelemahan.
Bayangkan, sekiranya kita meluahkan masalah di atas kertas, kepada orang yang dipercayai, melihat rupa dan mendengar suara haiwan peliharaan, pun sudah mendapat ketenangan apatah lagi jika kita meluahkan segala-galanya kepada Allah. Ketenangan yang kita dapati hasil berhubung dengan Allah melalui solat ialah ketenangan yang hakiki. Kualitinya berganda-ganda daripada ketenangan yang didapati dengan cara yang lain.
Menulis masalah di dalam buku catatan, kadangkala meletihkan. Menceritakan masalah kepada seseorang ada kalanya dikecewakan. Manusia, walau bagaimana baik sekalipun, pasti bosan sekiranya diperdengarkan masalah secara berulang-ulang dan berterusan. Haiwan peliharaan, walau bagaimana comel, cantik dan merdu pun siulannya, lama-kelamaan akan membosankan hati. Begitu juga hobi, ada masanya tidak dapat menyelesaikan soal hati. Maka pada siapa lagi kita hendak mengadu?
Ya, mengadulah kepada Allah dalam solat. Allah tidak pernah jemu. Perdengarkan masalah kita berulang-ulang, hatta masalah yang sama, Allah sentiasa sudi mendengarnya. Tuhan tidak pernah kecewa dengan kerenah manusia kerana Tuhan mencipta manusia dan Dia menjaga ciptaan-Nya itu dengan penuh kasih sayang.
Allah sentiasa dekat dengan kita selagi kita tidak menjauhi-Nya. Jika kita bertanya tentang-Nya, Allah menjawab: “Jika manusia bertanya tentang-Ku, katakan Aku dekat, dan Aku memenuhi permintaan orang yang meminta.”
Jika kita berasa kecewa dan hampir putus asa, Allah memujuk: “Tidak ada yang putus asa melainkan orang kafir.”
Apabila kita berasa dihina dan dipinggirkan, Allah mengingatkan: “Jangan berasa hina dan takut, kamu adalah orang yang tinggi martabatnya jika kamu beriman.”
Dan apabila kita terasa keseorangan, kesepian dan mula gementar menghadapi segala ujian dan gelombang kehidupan, Allah memberi harapan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”
Ya, selagi kita bersama Allah, selagi kita menunaikan solat, kita akan kuat menghadapi apa-apa jua cabaran. Lalu, tunggu apalagi, marilah berehat  dengan solat!

No comments:

Post a Comment