Dalam era membaiki diri ini, kita
nilaikan sembahyang kita, nanti akan terjawap Kenapa kita tidak dibantu, dan
ini juga gambaran secara keseluruhannya, mengapa umat islam terbiar dan tiada
pembela dan umat islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti dulu.
Golongan Pertama
Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tidak sembahyang, bahkan
ramai juga yang tidak tahu hendak sembahyang; mereka telah jatuh kafir. Imam
Malik berkata bahawa jatuh kafir kalau tidak sembahyang tanpa sebab. Imam
Syafie kata jatuh fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin sembahyang
itu fardu.
Golongan Kedua
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak
betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara
rasmi atau tak rasmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada.
Golongan Ketiga
Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi
tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap
sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik; ia sembahyang, kalau
sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta .a, berziarah, bermusafir,
letih dan penat, maka ia tak sembahyang.
Golongan Keempat
Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak
khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak
faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang
yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main
hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya.
Fikirannya mengembara dalam sembahyang, orang ini lalai dalam sembahyang.
Golongan Kelima
Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham
setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak
dihayati maksud dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan
perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini
dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.
Golongan Keenam
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik
tali di dalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula.
Bila teringat sesuatu di dalam sembahyangnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal
dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba- tiba, maka insaf dan sedarlah
semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat
dan bacaan di dalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai sembahyangnya. Ia
merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah
golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan
kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan
jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu
mudah-mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga-moga Allah ampunkan
dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada
member kesan apa apa. Allah belum lagi cinta akan orang jenis ini.
Golongan Ketujuh
Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung
bacaan dan setiap lafaz di dalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak
terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang
dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi
sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan
tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi
sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah di dalam sembahyangnya.
Golongan ini disebut orang-orang soleh atau golongan abrar ataupun ashabul
yamin.
Golongan Kelapan
Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit
iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia di dalam sembahyangnya,
malahan dia dapat menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap
kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap
sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat
langsung dengan dunia walaupun sedikit. Tapi namun ia masih tersedar dengan
alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam
sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir
dengan Allah).
Golongan Kesembilan
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu
bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai di dalam sembahyang malahan ia dapat
mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang,
kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana
dengan sembahyang.
Sembahyang telah menjadi penyejuk
hatinya. Ini dapat dibuktikan di dalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali
ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang
dulu, maka di dalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk
dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang semakin terasa lazat, sembahyanglah
cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya.
Dalam sembahyanglah cara ia nak
mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan.
Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya
pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang
benar dan haq. Setelah kita nilai keseluruhan sembilan peringkat
sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang
mana.
Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan
jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk, boleh mengungkai mazmumah,
menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung
ialah golongan tujuh, lapan dan sembilan sahaja. Sembahyangnya ada kualiti,
manakala golongan yang lain jatuh pada kufur, fasik dan zalim.
Jadi dimanakah tahap sembahyang
kita? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi.
Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah
solat atau sembahyang kita.
Marilah bersama membaiki solat kita
agar segara dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga
tertegak kembali daulah Islam.
No comments:
Post a Comment