RAHSIA SOLAT DARI SUDUT SAINS DAN KESIHATAN
Hasil
kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap
gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap
kesihatan secara menyeluruh.
Berikut
adalah beberapa hasil kajian yang telah dilakukan berkaitan solat:
AKTIVITI OTOT - Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas
Beliau
yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan
regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.
Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti
berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.
"Kebanyakan
otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang
wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang
memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh," katanya. Malah, katanya
solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan
betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih
teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.
ISYARAT OTAK - Ng Siew Chok
Beliau
berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang
menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur
menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG
(Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada
aktiviti elektrik.
"Gelombang
otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal
dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan
tenang," katanya
Walaupun
bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila
mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai
keadaan selepas bangun tidur.
"Ada
fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud
sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan
diberitahu bahawa keadaan itu adalah tomakninah," katanya.
Ketika
itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang
itu berada dalam keadaan tenang.
Siew
Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan
memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan
itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih
bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.
KOMPOSISI TUBUH - Dr Fatimah Ibrahim
Beliau
berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif,
tisu tulang, komponen air dan lemak.
Beliau
berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu
menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas
dan selamat, berbanding pengambilan darah.
"Teknik
ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika
Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids,
diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain," katanya.
Dalam
kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah
dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud
bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan
melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.
Dr
Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai
komposisi tubuh yang kurang baik.
Katanya,
kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai
kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.
"Kita
mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu.
Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir
seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.
"Sebelum
solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang
tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang
yang letih dan mempunyai cas negatif," katanya.
Katanya,
ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan
lebih tenang.
Dr
Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini
terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.
Sebelum
Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa,
komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti
kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras
glukos rendah.
Selain
itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang.
Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri
dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.
Beliau
berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan
meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat
isyarat otot.
Katanya,
hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan,
iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.
"Ini
membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita
akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita
normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi
ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat," katanya.
Beliau
berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali
seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit
Selain
itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung
ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain
menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.
"Kajian
mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah
dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika
solat adalah bagus," katanya.
Sehubungan
itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada
posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung
gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada
pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung
perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
-
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment